Skip to main content

Malaysia

Caj Bazar Deepavali 2026 turun kepada maksimum RM400 - Hannah

HANNAH YEOH Bazar Deepavali
Hannah bercakap pada sidang media tentang Bazar Deepavali di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Caj penyertaan Bazar Deepavali 2026 di Kuala Lumpur diturunkan sebanyak 85 peratus kepada maksimum RM400 termasuk cagaran, selaras dengan usaha mengurangkan kos perniagaan bagi penjaja di ibu negara.

Bagi tahun ini, jumlah RM400 itu merangkumi fi lesen RM30, caj perkhidmatan RM150, sewa tapak RM150 dan cagaran RM70 dan sebagai perbandingan, pada tahun lepas, jumlah keseluruhan yang perlu disediakan ialah RM2,626 merangkumi fi lesen RM21, caj perkhidmatan RM105, sewa tapak RM500 dan cagaran RM2,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kadar itu sama seperti yang dikenakan bagi Bazar Ramadan, selain tempoh operasi bazar tahun ini dipanjangkan kepada 30 hari berbanding 21 hari sebelum ini.

“Fokus kita senang sahaja, kita nak turunkan kos untuk penjaja dan beri tempoh berniaga yang lebih panjang kepada mereka. Jumlah petak juga meningkat pada tahun ini, iaitu kita konsisten dengan pendirian kita sepanjang tahun, iaitu kurangkan kos berniaga kepada kumpulan peniaga di Kuala Lumpur.

“Dengan langkah ini, manfaatnya akan sampai kepada penjaja dan juga penduduk warga kota. Sesiapa yang berminat mohon berurusan terus dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Saya tak nak nanti ada orang tengah dekat luar caj beribu-ribu ringgit kerana harga kita tetapkan RM400 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media tentang Bazar Deepavali di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Bazar Deepavali 2026 akan berlangsung bermula dari 9 Okt hingga 7 Nov di dua lokasi utama, iaitu Tempat Letak Kenderaan Kompleks Tun Sambanthan menerusi konsep Mega Bazar Deepavali dan Jalan Bunus 6, Masjid India melibatkan 172 petak niaga, termasuk lesen penjaja bazar dan lesen hiburan semasa/promosi di dua lokasi.

Selain itu, sebanyak 30 lesen hiburan semasa/promosi akan dikeluarkan kepada premis di hadapan Jalan Tun Sambanthan, tertakluk pada permohonan pemilik premis.

Sementara itu, Fadlun berkata penganjuran tahun ini menggunakan model pengurusan hibrid dan DBKL kekal bertanggungjawab terhadap aspek pelesenan, kawal selia dan penguatkuasaan dengan penglibatan persatuan dalam pengurusan operasi bazar.

Empat persatuan yang terlibat ialah Pertubuhan Kebajikan Peniaga dan Penjaja Kecil Interaksi Kuala Lumpur & Selangor (PKPPKI), Persatuan Prihatin Peniaga Little India Brickfields, Persatuan Penjaja Medan Selera Pines Bazaar Brickfields dan Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan.

“Kita telah mengiklankan mengenai bazar ini dan kita jangka penerimaan amat banyak daripada persatuan dan proses pengundian akan dijalankan pada 22 dan 23 Sept ini,” katanya.

Mengulas kebimbangan berhubung kemungkinan berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Tun Sambanthan sepanjang tempoh bazar, beliau berkata DBKL telah meneliti perkara itu pada peringkat awal sebelum mengenal pasti lokasi berkenaan.

“Kita sudah lihat perkara ini pada peringkat awal lagi sebelum kita kenal pasti (lokasi bazar). Ada jalan-jalan alternatif yang telah kita tengok dan pada masa sama, kita juga akan pastikan bahawa sistem laluan sepanjang bazar ini berlangsung akan kita laksanakan kawalan trafik yang ketat,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement