MALAYSIA
Caklempong Acastra raih perhatian pengunjung Ekspo Dunia 2025

Alunan muzik tradisional Malaysia yang dipersembahkan pasukan Caklempong Acastra, dianggotai 14 pelajar Akademi Sains Pendang, Kedah berjaya memukau pengunjung Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun. - Gambar ihsan MITI
OSAKA: Alunan muzik tradisional Malaysia yang dipersembahkan pasukan Caklempong Acastra, dianggotai 14 pelajar Akademi Sains Pendang, Kedah berjaya memukau pengunjung Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun dalam persembahan selama dua hari yang bermula semalam.
Ketua kumpulan, Muhammad Aidil Adib Mohd Nor Azizi, 15, berkata, ini adalah kali pertama mereka membuat persembahan di hadapan penonton antarabangsa secara terbuka, sekali gus menjadikan pengalaman yang cukup berharga.
Beliau berkata, persembahan itu berlangsung selepas kumpulan berkenaan meraih tempat kedua pada Pertandingan Bakat Muzik Antarabangsa (IMTC) yang diadakan di Dewan Aiwa, Fukuoka, Jepun pada 8 Ogos lepas.
"Persediaan ke Fukuoka memakan masa kira-kira dua bulan. Kami berlatih pelbagai lagu, termasuk memperbaiki lagu lama supaya persembahan lebih mantap," katanya kepada media Malaysia pada Ekspo Dunia 2025, di sini.Aidil Adib pada masa sama turut melahirkan rasa teruja apabila dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Latihan kumpulan itu dikendalikan Cikgu Iza Harlydia Azis bersama Cikgu Siti Zulaikha Alias, yang dijalankan pada sesi malam bagi memastikan prestasi akademik pelajar berkenaan tidak terjejas.
"Kami berlatih dari pukul 8 hingga 10 malam selepas solat Maghrib. Waktu siang mereka akan fokus pada pelajaran, manakala waktu riadah juga tidak diganggu kerana ia juga penting untuk keseimbangan mereka," kata Iza Harlydia.
Bagi persembahan di Osaka, beliau berkata, Caklempong Acastra membawa identiti negeri Kedah melalui gabungan lagu-lagu rakyat, gabungan, tradisional Melayu serta lagu popular Jepun seperti Sakura dan Mirai.
Persembahan utama ialah gabungan lima lagu iaitu Tari Tualang 3, Ayam Didik, Inang Bakawali, Kuda Hitam dan Cindai, yang pernah menobatkan mereka sebagai juara pada Pertandingan Muzik Tradisional peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Kids Got Talent Malaysia dan IMTC Bangkok. Gabungan lagu sama turut membawa kejayaan di Fukuoka baru-baru ini.
Iza Harlydia berkata, beliau bangga dengan pencapaian pelajar berusia 14 hingga 15 tahun itu yang berjaya mengangkat muzik tradisional ke pentas antarabangsa.
"Ini peluang yang mungkin tidak datang dua kali. Saya berterima kasih kepada semua pihak, khususnya ibu bapa yang memberikan sokongan penuh," katanya.
Ditubuhkan pada Jun 2023, Caklempong Acastra mula mencipta nama apabila muncul juara Kids Got Talent Malaysia musim kesembilan, sekali gus dinobatkan sebagai juara kebangsaan kategori alat muzik tradisional.
Ekoran kejayaan itu, pasukan berkenaan turut menerima jemputan eksklusif untuk menyertai saringan America's Got Talent musim ke-21, sekali gus berpeluang mewakili Malaysia di pentas hiburan terbesar dunia hujung tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami