MALAYSIA
Caklempong Acastra, wakil Malaysia ke final IMTC di Fukuoka

Ditubuhkan pada Jun 2023, Caklempong Acastra sebelum ini menjuarai Kids Got Talent Malaysia Musim kesembilan, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan bagi Kategori Alat Muzik Tradisional. - Foto caklempong acastra/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan Caklempong Acastra yang dianggotai 14 pelajar dari Akademi Sains Pendang, Kedah bakal menggalas cabaran negara dalam Pertandingan Bakat Muzik Antarabangsa (IMTC) yang akan berlangsung di Dewan Aiwa, Fukuoka, Jepun pada 8 Ogos ini.
Kumpulan muzik tradisional itu turut dijadual mengadakan persembahan khas selama dua hari di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka bersempena Minggu ASEAN, sebagai usaha memperkenalkan keunikan muzik dan alunan tradisional Malaysia ke pentas antarabangsa.
Ketua kumpulan Caklempong Acastra Muhammad Aidil Adid Mohd Nor Azizi, 15, berasal dari Setiu, Terengganu berkata peluang ke Jepun hadir selepas kejayaan mengejut kumpulan itu di IMTC Bangkok, baru-baru ini.
"Kemenangan itu menjadi detik penting dalam perjalanan seni kami dan membuka laluan ke pentas akhir IMTC di Jepun...satu pengiktirafan yang jarang diberikan kepada peserta baharu."Sebagai ketua kumpulan, saya dan rakan-rakan sekumpulan amat berbangga dapat mewakili negara di peringkat dunia," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Muhammad Aidil Adib turut dikenal pasti memiliki kecerdasan muzik yang tinggi apabila berupaya mengenal pasti not dan alunan bonang-caklempong hanya melalui pendengaran, sebelum memainkan semula lagu tanpa sebarang rujukan nota - satu kebolehan luar biasa yang jarang dimiliki remaja seusianya.
Seorang lagi anggota kumpulan, Airil Muamar Azizi, 15, yang juga pelajar cemerlang dan ketua pasukan robotik Akademi Sains Pendang, turut berkongsi keterujaan menyertai pertandingan itu meskipun bidang muzik tradisional bukan keutamaan utamanya.
"Walaupun robotik adalah minat utama saya, caklempong tetap dekat di hati. Kami akan memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Delegasi Caklempong Acastra, Dr Mohd Hafizi Nordin menyifatkan peluang membuat persembahan di IMTC dan Pavilion Malaysia sebagai pencapaian besar yang membuka ruang luas kepada perkembangan sahsiah dan bakat pelajar.
"Bagi majoriti pelajar ini, ini adalah kunjungan pertama mereka ke Jepun. Saya berharap pengalaman ini menjadi pemangkin kepada kejayaan masa depan mereka, dengan sokongan rakyat Malaysia yang terus padu, "katanya.
Ditubuhkan pada Jun 2023, Caklempong Acastra sebelum ini menjuarai Kids Got Talent Malaysia Musim kesembilan, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan bagi Kategori Alat Muzik Tradisional.
Ekoran kejayaan itu, pasukan berkenaan turut menerima pas eksklusif menyertai saringan America's Got Talent Musim ke-21, mewakili Malaysia di pentas antarabangsa hujung tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami