Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon-calon muka baharu dan lama yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan pada 2 November (esok) di Hotel Zenith, Kuantan.
"Pemilihan (calon) hampir muktamad dan ia merupakan kombinasi Wanita, Pemuda dan Puteri.
"Ada muka lama, veteran, baharu, muda. Calon dalam 60 hingga 70 peratus adalah baharu," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut di sini hari ini.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Dalam pada itu Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang berkata, kira-kira 75,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini pertama kali yang akan memangkah pada PRU15 nanti diyakini akan memihak kepada BN.
Tambahnya lagi, dari segi bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri pada sebelum ini, pihaknya juga tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan.
"Kita telah dekat pengundi muda sejak dulu lagi. Golongan ini harus didekati, mereka pun nak tahu kerajaan negeri buat untuk mereka.
"Meskipun belum capai 100 peratus, tapi hampir 60 peratus daripada mereka memihak kepada BN," katanya.
Dalam pada itu ketika di tanya mengenai penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut Wan Rosdy berkata, BN Pahang akur dengan keputusan Ahmad Nazlan.
"Beliau (Ahmad Nazlan) akan turun padang membantu kempen bagi memastikan BN menang untuk calon baru BN Parlimen Jerantut nanti," ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 Nov) dan hari pengundian pada 19 Nov.
BN dijadualkan mengumumkan senarai calon Parlimen gabungan itu di Kuala Lumpur malam ini.