Skip to main content

Malaysia

Calon SPM antara 195 individu ditahan dalam Op Perdana di Negeri Sembilan

[TB]_AADK Zainudin Abdullah_IG aadk.malaysia
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata operasi dilaksanakan serentak di Seremban, Jempol, Tampin dan Port Dickson selama tiga hari bermula 29 Jun itu melibatkan 72 pegawai dan anggota AADK negeri berkenaan.
Advertisement

SEREMBAN: Sebanyak 195 individu termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didapati positif dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menerusi Operasi Perdana, berakhir semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata operasi dilaksanakan serentak di Seremban, Jempol, Tampin dan Port Dickson selama tiga hari bermula 29 Jun itu melibatkan 72 pegawai dan anggota AADK negeri berkenaan.

Beliau berkata pelajar 17 tahun itu ditahan bersama abangnya berusia 20-an yang didapati positif dadah jenis ketum di rumah mereka di Seremban setelah beberapa risikan dilakukan agensi tersebut, sebelum ini.

"Pelajar itu menggunakan alasan (mengambil ketum) untuk tambah tenaga kerana berjaga lewat malam. AADK turut menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 45 dan 44 tahun yang didapati positif methamphetamine dan ketum.

"Ketika serbuan, pasangan terbabit ditemui bersama dua anak mereka berusia 10 dan empat tahun di sebuah rumah tanpa bekalan elektrik. Kedua kanak-kanak itu kini dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala ibu bapa mereka dibawa ke pejabat AADK untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Zainudin berkata pihaknya juga menahan seorang wanita berusia 44 tahun selepas didapati positif syabu ketika bersama anak perempuannya berusia setahun tiga bulan di sebuah rumah di Jempol.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati suami wanita itu serta anak sulungnya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Dalam operasi sama, seorang lelaki etnik Rohingya berusia 40-an yang merupakan pekerja di kedai makan sekitar Seremban ditahan selepas didapati memiliki bekalan disyaki dadah jenis morphine seberat 2.62 gram.

"Empat warga asing dari Indonesia dan Myanmar turut ditahan dalam operasi ini dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata dalam operasi tersebut juga AADK turut menumpaskan sarang penagih di sebuah rumah di Felda Palong 12 dan 13 Jempol, apabila lapan lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun ditahan.

Zainudin berkata selain tangkapan baharu, AADK turut menahan 39 individu yang gagal hadir jamin untuk dibawa ke muka pengadilan, sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan susulan agensi itu dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement