KUALA LUMPUR : Jenama kamera terkemuka, Canon memperkenalkan 17 pakar serba boleh dalam bidang fotografi sebagai usaha mencungkil bakat tempatan di seluruh negara.

Barisan pakar ini akan bersama dengan Canon meneruskan legasi mereka dalam mencipta komuniti yang lebih kreatif selain menurunkan ilmu berkaitan pengimejan dan videografi.

"Bakat dan kesungguhan mereka dalam bidang sinematografi dan penciptaan visual seiring dengan komitmen kami untuk memacu inovasi.

"Kami sangat berbangga untuk bekerjasama dengan para pakar dalam bidang fotografi terutama sekali dalam usaha Canon memberi inspirasi dan membawa gelombang baharu jurugambar-jurugambar di Malaysia," kata Presiden Canon Marketing Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Masato Yoshiie.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama antara Canon dan EOS Master, yang berlangsung di Astana, Bamboo Hills, baru-baru ini. 

Ujar Yoshiie lagi, usaha Canon ini adalah berlandaskan falsafah Jepun iaitu Kyosei yang membawa maksud dedikasi untuk melihat masyarakat bekerjasama dalam membawa kebaikan buat sejagat.

Beliau percaya usaha yang dijalinkan bersama pakar ini dapat memberi inspirasi kepada mana-mana individu kreatif termasuk mereka yang baharu sahaja berkecimpung dalam bidang ini.

Dengan pengalaman serta latar belakang yang berbeza dan kebolehan yang luar biasa, Yoshiie percaya para pakar ini dapat memberi impak ke atas industri kreatif di Malaysia.


Presiden Canon Marketing Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif, Masato Yoshiie menyatakan kesungguhan Canon untuk mencungkil bakat tempatan dalam industri kreatif negara. -Gambar Canon Malaysia

Inisiatif sama yang dimulakan sejak 2023 ini telah menarik minat pelbagai individu termasuk golongan pelajar, profesional dan pakar-pakar fotografi. 

Para pakar yang ditampilkan oleh Canon bagi tahun ini akan terlibat dalam menjayakan pelbagai program kendaliannya termasuk bengkel, seminar dan pameran sepanjang 2024.

Program-program ini bermatlamat untuk berkongsi ilmu serta teknik yang boleh membantu peserta menangkap momen secara lebih berkesan.