Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan minuman keras di negara ini.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata gesaan itu berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian, dengan sembilan kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Pada pandangan kami, ini bukan kemalangan, ini adalah pembunuhan. Pemandu tahu, tidak boleh memandu kereta apabila sudah mabuk.

"Jika (mereka) tidak mahu ikut undang-undang, pemandu jadi seorang pembunuh. Undang-undang keras boleh menyelamat nyawa orang awam," katanya dalam kenyataan, di sini.

Tambahnya, CAP menyokong penuh dan berterima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil keputusan untuk membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan minuman keras demi menjaga keselamatan orang awam.

Menurut Subbarow, pihaknya berharap negeri-negeri lain dapat mengambil langkah sama sementara menunggu undang-undang baharu berkaitan pemandu mabuk diputuskan oleh Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi.

-- BERNAMA