KOTA BHARU: Capaian rangkaian 5G di Malaysia kini mencecah 85 peratus dalam usaha melonjakkan kemajuan negara bagi aspek pendigitalan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata liputan 5G didapati penting bukan sahaja bagi perhubungan antara telefon, tetapi juga mempunyai fungsi lebih besar dalam beberapa industri.

"Sebenarnya liputan 5G dapat memangkinkan ekonomi dengan mengalihkan paradigma ini daripada rakyat, iaitu 5G bukan untuk hubungan telefon semata-mata, sebaliknya kita mahu bawa ia ke industri negara maju.

"Dalam industri apabila kita ada rangkaian 5G yang betul-betul cekap dan mantap, ia dapat membantu melonjakkan industri berkaitan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital Kota Bharu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah.

Rodzi berkata menerusi liputan 5G, ia membolehkan penggunaan dron dalam bidang pertanian untuk memantau tanaman rosak dan pembajaan berkesan.

Beliau berkata bagi sistem pengangkutan awam, liputan 5G yang mantap membolehkan semua sistem pengangkutan diintegrasikan manakala dari segi kesihatan, misalnya hospital, pembedahan tanpa kehadiran doktor juga boleh dilakukan.

Menurut Rodzi negara kini bergerak ke arah usaha sedemikian menerusi peranan agensi yang mengendalikan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) di bawah Kementerian Digital.

--BERNAMA