Skip to main content

Malaysia

Caprice diperintah bayar RM220,000, mohon maaf kepada Ebit Lew

Mohon maaf,penyanyi rap
Ebit memfailkan saman terhadap Caprice berhubung penerbitan kandungan yang didakwa mempunyai unsur memfitnah dirinya.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Caprice diarahkan membayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati wujud unsur fitnah dalam penerbitan kenyataan terhadap penceramah bebas itu pada 2023.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut mengarahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, memohon maaf kepada Ebit serta memadamkan tujuh kenyataan yang diterbitkan bersama seorang pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo.

Arahan berkenaan perlu dilaksanakan dalam tempoh 48 jam, selain mahkamah menetapkan Caprice tidak boleh lagi mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan Ebit pada masa akan datang.

Ebit, 42, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, memfailkan saman terhadap Caprice berhubung penerbitan kandungan yang didakwa mempunyai unsur memfitnah dirinya.

Dalam penghakiman sama, mahkamah turut menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice selepas mendapati tuntutan berkenaan tidak mempunyai asas.

Kes itu berpunca daripada satu rakaman video yang dimuat naik Caprice pada 15 September 2023, yang menampilkan Mondy sebagai tetamu dalam kandungan berkenaan.

Menurut plaintif, kandungan video itu membawa gambaran bahawa beliau melakukan gangguan seksual serta mengambil kesempatan terhadap Mondy.

Selain itu, Ebit mendakwa dirinya turut digambarkan sebagai individu tidak bertanggungjawab dan menggunakan agama bagi kepentingan tertentu.

Plaintif mendakwa Caprice menerbitkan video tersebut dengan niat jahat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan fakta daripada Ebit atau peguamnya.

Penerbitan kandungan itu juga didakwa mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan pengikut akaun YouTube Caprice, termasuk komen berunsur cacian dan makian terhadap Ebit.

Ebit turut mendakwa beberapa kenyataan yang dianggap berbaur fitnah disiarkan oleh Caprice dan Mondy sehingga menyebabkan beliau menerima kecaman serta menjadi bahan ejekan.

Susulan dakwaan berkenaan, polis pada 29 September 2023 memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan berkaitan laporan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.

Dalam prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Caprice pula diwakili Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.

Mengulas keputusan berkenaan menerusi laman Facebook, Ebit menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepadanya.

Ebit berkata Caprice diperintahkan memohon maaf berhubung kenyataan yang dianggap sebagai fitnah serta membayar ganti rugi berjumlah RM220,000.

Sementara itu, Caprice menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.

Must Watch Video

Advertisement