Cara berpakaian merupakan akhlak bagi seseorang yang beragama Islam, kata pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Katanya, Islam mengandungi tiga perkara penting yang seharusnya diikuti oleh penganutnya iaitu syariat, tauhid dan akhlak

"Islam ada tiga perkara iaitu syariat, tauhid dan akhlak. Cara berpakaian juga termasuk dalam akhlak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat terhadap semakan yang dikemukakan oleh tiga lelaki Islam yang ditangkap berpakaian wanita, Dr Shamrahayu berkata, secara keseluruhannya hakim tidak memberi maksud jelas kepada perkataan undang-undang diri dalam Butiran 1 Senarai 2 Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

Dr Shamrahayu juga menjelaskan, dalam penghujahan ringkas yang dikeluarkan, hakim juga telah membuat kesilapan dalam mentafsirkan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap akhlak orang Islam.

"Dalam Butiran 1 Senarai 2 Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan itu telah dinyatakan bahawa perkara-perkara yang melibatkan akhlak orang Islam adalah dalam bidang kuasa DUN," katanya lagi.

Biarpun mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan, Dr Shamrahayu turut menegur tatacara tindakan yang digunakan oleh Penguatkuasa Agama di setiap negeri.

Jelas beliau, pejabat agama setiap negeri perlu mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam melaksanakan Enakmen Syariah.

"Masalah yang dihadapi oleh pejabat agama ialah mereka tidak ada SOP, kalau bawa ke Mahkamah sering kali kalah sebab tidak ada SOP.

"Jadi ini kelemahan dari sudut pejabat agama yang perlu diperbaiki, perlu ada SOP, sebelum tuduh buat apa, adakah sudah beri nasihat banyak kali atau tidak sebelum dihukum," jelas beliau.

Katanya, prinsip menghukum dalam Islam ialah sebelum dijatuhkan hukuman, seseorang itu perlu terlebih dahulu diberi khidmat nasihat.

"Dalam hal transgender ini, saya percaya pejabat agama tidaklah terus menghukum, tentunya kaunseling telah diberikan sebelum hukuman dikenakan," katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata enakmen tersebut melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.