Impian untuk melihat hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menjadi realiti seandainya Datuk Seri Mukhriz menerima tawaran jawatan Kabinet kepadanya sebelum rombakan tahun lalu.

Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia sekali gus platform untuk melihat perpaduan UMNO dan orang Melayu kembali menjelma.

"Semasa saya menjadi pendamai antara Najib dan bekas perdana menteri, salah satu inisiatif Najib adalah menawarkan Mukhriz satu jawatan Kabinet sebelum rombakan lalu.

"Bila Tun M tanya kenapa perlu ubah, saya beritahu Najib yakin bahawa kedudukan Mukhriz terancam sebab ramai pemimpin UMNO Kedah yang menolaknya.

"Tun M minta saya berjumpa Mukhriz untuk menyampaikan tawaran Najib dan dia akan mengikut apa sahaja yang diputuskan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Kenyataan itu turut dimuatkan di dalam catatan di laman Twitternya.

Rahim mengulas suasana politik di Kedah yang 'panas' sejak beberapa hari lepas apabila kepimpinan UMNO negeri yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya 'gila jawatan menteri besar' selepas krisis itu melanda.

Dalam pada itu Rahim melahirkan rasa kesal kerana Mukhriz menolak tawaran jawatan Kabinet yang diberikan kepadanya oleh Najib.

"Saya kesal sehingga sekarang kerana penolakan ini merupakan punca kegagalan inisiatif yang dibuat bersama Datuk Mohd Fatmi Che Salleh bagi mendamaikan Najib dan Tun M.

"Saya yakin jika tawaran Najib diterima Mukriz, bukan saja beliau terhindar dari kontroversi politik yang melanda Kedah sekarang malah hubungan baik Najib dan Tun M mungkin menjadi realiti historik kepada perpaduan UMNO dan Melayu. Moga Allah izinkan peluang kedua menjelma," jelasnya.

Sebelum ini, Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mahu satu pertemuan khas dibuat antara Najib dengan Tun M yang memfokuskan usaha menyelesaikan kemelut dan krisis termasuk merungkai persoalan utama melibatkan isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Ujarnya, pertemuan itu juga akan menjadi titik tolak persefahaman bersama demi melihat perpaduan orang Melayu di negara ini terjamin dan berkekalan.