KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) memperkenalkan sistem e-Temujanji yang bermula 1 Ogos lepas bagi memudahkan urusan perbankan pelanggan secara bersemuka di kaunter-kaunter cawangan sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

CBP dalam satu kenyataan menjelaskan, sistem e-Temujanji yang diperkenalkan itu membolehkan pelanggan-pelanggan menempah slot janji temu di semua 28 cawangan CBP di seluruh negara termasuk sebuah outlet Ar-Rahnu di Setapak.

"Menerusi sistem ini, pelanggan boleh menempah slot janji temu secara dalam talian di https://bit.ly/temujanjiCBP sebelum hadir ke cawangan CBP.

"Sistem ini diperkenalkan bagi memastikan pengoperasian perkhidmatan kaunter cawangan-cawangan CBP mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Dalam masa yang sama, memastikan urusan bersemuka di kaunter-kaunter teratur dan selamat kepada pelanggan serta kakitangan CBP.

"Bagaimanapun, cawangan CBP masih menerima pelanggan ‘walk-in’ seperti biasa," menurut CBP dalam kenyataan itu hari ini.

BACA: CBP umum pembayaran dividen RM58.3 juta untuk tahun 2020

BACA: 
CBP lulus 47,413 permohonan moratorium PEMULIH

Kenyataan itu juga menjelaskan, selain kaedah e-Temujanji, pelanggan-pelanggan juga boleh menggunakan aplikasi MyCoopbank iaitu aplikasi perbankan dalam talian yang boleh dimuat turun di platform Google Playstore dan Apple Store.

Sebelum ini, Pengerusi CBP, Kamari Zamari Juhari berkata, pihaknya meluluskan lebih 47,000 permohonan moratorium Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sehingga pertengahan Julai lalu, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.2 bilion.

Jelasnya, secara keseluruhannya, permohonan tersebut melibatkan pelanggan bagi Pembiayaan Persendirian-i, Perumahan-i dan Ar-Rahnu.