Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan dipinda pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang dengan meningkatkan nilai denda kepada RM1 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan itu akan turut melibatkan beberapa lagi peruntukan lain susulan siri pencemaran air di negeri itu.

Menurut beliau, penguatkuasaan sahaja tidak memadai sebaliknya memerlukan satu peruntukan undang-undang yang lebih tegas agar wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Kita perlukan kerjasama semua pihak. Setakat penguatkuasaan, kita boleh kerah ratusan ribu penguatkuasaan. Tapi kalau pencemar-pencemar masih lagi tidak bertanggungjawab, sudah dikenakan tindakan dan sebagainya, kita tidak akan beri peluang.

"Namun, di peringkat kerajaan negeri melalui LUAS, kita telah luluskan di peringkat lembaga pengarah untuk penambahbaikan Enakmen LUAS.

"Enakemen LUAS sebelum ini bagi (denda) pencemaran adalah sekitar RM500,000 dan kita sedang merancang untuk meningkatkan kepada RM1 juta.

"Namun enakmen ini perlu di bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang dalam sidang belanjawan akhir Oktober dan November nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Air Selangor di sini.

BACA: Kilang punca pencemaran air bakal diroboh - MB Selangor

Jelasnya, kajian berkenaan pindaan kepada enakmen tersebut telah dilakukan sejak dua tahun lalu.

Beliau dalam masa sama turut berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut mengambil langkah sama untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan meningkatkan jumlah denda.