Skip to main content

Malaysia

Ceramah, papan iklan tidak lagi berkesan perangi jenayah komersil - Ketua Polis Kelantan

KOTA BHARU, 15 Jun -- Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menjawab pertanyaan pemberita berhubung penculikan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Yusoff berkata beliau telah mengarahkan pegawai media untuk menyerapkan isu-isu serta kesedaran jenayah komersil ini ke dalam akaun TikTok PDRM Kelantan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mengubah strategi kempen pendidikan awam mengenai jenayah komersil dengan memberi tumpuan kepada media sosial dan stesen penyiaran utama bagi memperluas capaian kepada masyarakat.

Langkah agresif itu diambil susulan kaedah konvensional sebelum ini, termasuk ceramah bersemuka dan penggunaan papan iklan dilihat kurang berkesan dalam menyebarkan maklumat pencegahan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata beliau telah mengarahkan Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya platform media elektronik seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen radio dan televisyen tempatan yang lain.

"Kita bimbang dengan perkembangan kes jenayah komersil ini. Hasil pemerhatian mendapati pendekatan memberikan ceramah di sekolah atau bersama komuniti masyarakat setempat sebelum ini nampak kurang berkesan.

"Oleh itu, sekarang kita mahu memperkasakan kempen melalui media sosial. Saya telah mengarahkan pegawai media untuk menyerapkan isu-isu serta kesedaran jenayah komersil ini ke dalam akaun TikTok PDRM Kelantan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas mengenai kaedah promosi fizikal, beliau menjelaskan bahawa kempen menerusi papan iklan di jalan raya juga tidak lagi membuahkan hasil yang optimum kerana kekangan masa pengguna jalan raya.

"Kalau kita tayang di papan billboard pun tidak ramai yang faham, malah pemandu tidak sempat membaca butiran terbabit ketika memandu. 

"Mesej pencegahan jenayah komersil ini berbeza dengan kempen lain, ia memerlukan masyarakat untuk mendengar, membaca dan meneliti maklumat dengan tekal, bukan sekadar imbasan sepintas lalu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kehadiran pegawai JSJK di stesen radio dan televisyen secara berkala dapat menjadi platform terbaik untuk berkongsi isu semasa dan modus operandi terbaharu penjenayah, sekali gus mendidik rakyat di negeri ini agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik scammer.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement