NATIONAL
Ceroboh hutan Raub, SPRM buka semula kertas siasatan - Azam Baki

Azam berkata siasatan SPRM terdahulu yang dibuka pada tahun 2021 kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka semula kertas siasatan berhubung pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- SPRM telah membuka semula kertas siasatan berkaitan pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang melibatkan isu rasuah dan tatakelola di pejabat tanah serta pejabat tanah galian.
- Pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan menjadi perhatian semula selepas laporan media serta aduan penduduk tempatan mendakwa wujud kegiatan tanpa lesen.
- Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa SPRM memperluaskan siasatan kepada pelbagai pihak termasuk individu dalam pihak berkuasa yang disyaki bersekongkol atau melindungi penerokaan haram.
Ini termasuk berkaitan tatakelola dan unsur rasuah yang berkemungkinan wujud membabitkan penerokaan haram yang masih berlaku sehingga kini.
"Saya juga ditanya berhubung adakah SPRM membuka kertas siasatan berhubung dengan isu di Raub. Jawapannya, ya.
"Dulu kita pernah membuka kertas siasatan yang seumpamanya pada 2021, jadi kesinambungan daripada itu, berhubung dengan isu baharu ini saya telah mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan dan kita juga melihat dua perkara, satu isu rasuah, bagaimana penerokaan haram itu boleh dilakukan dalam tempoh tempoh tertentu.
"Yang kedua isu berhubung dengan tatakelola yang diamalkan di pejabat pejabat tanah dan pejabat tanah galian. Jadi ini siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh SPRM Pahang dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Isu penerokaan tanah haram di Raub kembali menjadi tumpuan selepas laporan media dan aduan penduduk tempatan mendakwa wujud kegiatan pencerobohan dan pembalakan tanpa lesen di kawasan tanah kerajaan serta hutan simpan.
Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami