CES 2019 dibuka pada Selasa, memperkenalkan teknologi transformasi terkini yang akan mentakrifkan semula industri, memperbaiki kehidupan dan menyelesaikan beberapa cabaran global yang paling mendesak masa kini.

Acara teknologi pengguna terbesar dan paling berpengaruh di dunia itu melibatkan kira-kira 4,500 syarikat pameran, termasuk lebih 1,200 (satu angka rekod) syarikat permulaan (startup), dengan lebih daripada 20,000 produk yang dilancarkan minggu ini.

CES dimiliki dan dihasilkan oleh Persatuan Teknologi Pengguna (CTA atau Consumer Technology Association). Untuk tahun ini, CES 2019 berlangsung dari 8 hingga 10 Januari di Las Vegas, Nevada.

"Keseluruhan ekosistem teknologi dikumpulkan di CES 2019.

"Antara fokus tahun ini adalah hubungan 5G, kecerdasan buatan, realiti diperkukuh dan maya, bandar pintar, teknologi sukan, teknologi video 8K, robotika dan banyak lagi.

"Dengan setiap industri utama dan baru muncul di pameran, CES 2019 benar-benar menjadi hub global untuk inovasi,” kata Gary Shapiro, presiden dan CEO, CTA.

Walaupun CES dibuka pada Selasa, sesi sidang media telah bermula sejak Ahad dan buat pertama kalinya, Astro AWANI dijemput hadir untuk bersama-sama lebih 1,700 wakil media antarabangsa yang berkumpul di sini ketika ini, bagi memberi liputan secara langsung dari Las Vegas.

Presiden dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) LG Electronics Dr IP Park memulakan ucaptama CES 2019 dengan cadangan mewujudkan dunia teknologi Kecerdasan Buatan (AI atau Artificial Intelligence) yang lebih intuitif.

“LG ThinQ adalah platform Kecerdasan Buatan yang terkini dari LG. Ia merupakan robot pintar, alat pembesar suara pintar, dan pembantu pintar untuk pengguna,” kata Park.

Pengerusi, Presiden dan CEO IBM, Ginni Rometty pula memberikan taklimat secara menyeluruh dalam sidang media IBM pada pembukaan CES 2019.

“Antara perkara penting untuk IBM cerahkan di CES 2019 adalah konsep ‘deep data’ atau data mendalam.

"Sekiranya pihak swasta mahupun kerajaan memahami cara penggunaan data melalui konsep ‘data mendalam’, saya dan IBM yakin lebih banyak penyelesaian boleh didapati untuk memperbaiki segala pemasalahan yang wujud,” kata Rometty.

Steve Koenig, Ben Arnold dan Lesley Rohrbaugh, kesemuanya dari CTA, pula menyampaikan “2019 Trend Tech” pada Ahad dan memberi pratonton eksklusif Jualan & Ramalan Teknologi Pengguna Amerika Syarikat (AS).

Kecerdasan Buatan dan teknologi yang bersambung memacu industri teknologi pengguna AS hingga mencapai tahun kejayaan rekod - dijangka mencapai AS$398 bilion dalam jualan runcit.

Teknologi yang maju seperti penceramah pintar, peranti pintar rumah, earbuds tanpa wayar, smartwatch dan dron dijangka terus berkembang dalam teknologi populariti dan terobosan seperti TV 5G dan 8K UHD yang ditetapkan untuk memecah pasaran.

CES 2019 merupakan pameran terbesar yang pernah diadakan, dengan rekod 230 syarikat yang mengambil bahagian, termasuk 94 syarikat pemula dari Eureka Park.

Buat pertama kalinya, Astro AWANI memberi liputan secara langsung di CES 2019 di Las Vegas. Ikuti segala perkembangan CES 2019 bersama Editor Bisnes Astro AWANI melalui laman sosial beliau @ibrahimsaninet