BAGI penggemar teknologi, semestinya anda tidak sabar untuk mengetahui teknologi apakah yang bakal ditampilkan pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020 di Las Vegas kali ini.

Seperti kebiasaannya, pameran teknologi itu sering kali mencuri tumpuan orang ramai apabila menawarkan pelbagai ciptaan unik yang dikatakan membantu memudahkan kehidupan manusia.

Tahun ini, petugas media dipelawa melihat sendiri teknologi manakah yang bakal mencuri tumpuan, menerusi acara "CES Unveiled" yang berlangsung pada malam sebelum pameran itu dibuka secara rasmi.

Berikut adalah beberapa teknologi yang dikatakan bakal mencuri tumpuan orang ramai:

TV dengan paparan menegak

TV pertama dengan paparan menegak, Samsung Sero TV.

Mempertaruh konsep yang sama seperti telefon pintar, syarikat teknologi popular Korea Selatan itu memperkenalkan ciptaan televisyen terbaharunya, Sero TV.

Menariknya, Sero TV menawarkan pengguna paparan visual secara menegak!

Televisyen dengan resolusi 4K dan berukuran 43 inci itu umumnya kelihatan seperti TV biasa, namun apabila satu butang pada alat kawalan jauh ditekan, ia boleh beralih ke paparan menegak, sama seperti telefon pintar.

Dalam satu kenyataan, Samsung berkata teknologi itu diperkenalkan kepada para generasi millenial yang sering terdedah dengan telefon pintar berbanding TV sebenar.


Beli barangan runcit berdasarkan DNA

Gelang ini mampu jaga kesihatan pemakainya menerusi cadangan pengambilan sesuatu produk makanan.


Syarikat DnaNudge menawarkan langkah terbaik untuk orang ramai ke arah pemakanan sihat dengan memberi khidmat membeli barangan runcit berdasarkan DNA individu.

Jelas syarikat itu, konsepnya adalah dengan mengambil ujian DNA menerusi air liur di pasar raya tertentu dan menggunakan gelang khas pengguna bagi memeriksa sama ada sesuatu produk itu sesuai atau tidak dengan genetik mereka.

Sebagai contoh, sekiranya genetik mereka mengaitkan mereka dengan sejarah kolestrol dan tekanan darah tinggi, syarikat berkenaan boleh mencadangkan pengguna untuk tidak mengambil makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi.

Syarikat berpangkalan di United Kingdom itu telah menguji konsep berkenaan di London sejak November 2018 dan bakal melancarkannya di Amerika Syarikat tidak lama lagi.


Tong sampah ikat sendiri plastik sampah

Hanya satu butang, tong sampah ini boleh mengikat beg plastik sampah secara automatik.

Tong sampah keluaran Townew mampu mengikat beg plastik sampah sekiranya ia penuh dan menggantikannya dengan yang baharu

Dengan hanya menekan satu butang, ia akan mengikat plastik sampah berkenaan secara automatik.

Tong sampah itu juga akan membuka penutupnya secara automatik sebagai isyarat bahawa ia sudah penuh dan perlu dibuang.


Robot kucing dari Elephant Robotics

MarsCat merupakan robot kucing comel yang bakal menjadi tarikan baharu di CES2020

MarsCat merupakan robot kucing peliharaan yang mencuri perhatian. Robot kucing berkenaan boleh berjalan, bermain, serta menggigit kukunya.

Ia boleh mengecam muka manusia dan mampu mempelajari 20 jenis arahan menerusi suara berdasarkan perintah pemiliknya.


Pengenalan teknologi gigi baharu Oral-B dan Colgate

Berus gigi elektrik Oral B, disertakan dengan aplikasi mudah alih yang akan membantu aktiviti memberus gigi.


Memberus gigi menjadi perkara yang lebih menyenangkan apabila syarikat Oral-B memperkenalkan berus gigi elektrik dilengkapi sensor untuk memberi amaran kepada pengguna sekiranya mereka memberus gigi terlalu kuat.

Disertakan dengan panduan menerusi aplikasi digital, pengguna akan diajar cara memberus gigi dengan tepat dan mengenal pasti sama ada mereka telah membersihkan kesemua bahagian mulut.

Sementara itu, syarikat Colgate memperkenalkan teknologi pengesanan sisa kotoran dalam mulut.

Teknologi itu akan mencadangkan penggunanya untuk memberus dengan lebih lama bahagian yang mempunyai kotoran, seperti sisa makanan.

Lampu biru akan menyala sekiranya kotoran ditemui di dalam mulut, manakala lampu putih akan menunjukkan bahawa gigi pengunanya telah bersih.

Bagaimanapun, tarikh pelancaran kedua-dua berus gigi berkenaan belum diumumkan.

CES 2020 berlangsung di Las Vegas mulai hari ini hingga 10 Januari.