Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM) memberi panduan kepada jemaah haji Malaysia bagaimana mereka boleh menjimatkan bayaran bil telefon sebelum dan semasa berpergian ke tanah suci agar bil mereka tidak melambung tinggi apabila pulang ke tanah air.

CFM berkata jemaah antara lain perlu mendapat nasihat daripada penyedia perkhidmatan sebelum bertolak, mengelak daripada menggunakan dua kad SIM dalam satu telefon bimbit selain menggunakan aplikasi seperti WhatsApp apabila menerima panggilan suara.

Pengerusi CFM, Megat Ishak Maamunor Rashid berkata perkhidmatan telefon jemaah semasa mereka berada di luar negara adalah untuk perkhidmatan yang disediakan oleh rakan roaming antarabangsa mereka di negara yang mereka kunjungi.

"Rekod kami menunjukkan terdapat pertambahan tahunan bersabit aduan roaming antarabangsa. CFM menerima 796 aduan berhubung caj roaming panggilan suara dan data roaming daripada 2012 hingga Julai 2017," katanya.

Sebarang masalah berbangkit boleh dirujuk kepada talian tol bebas CFM di 1-800-18-2222 atau e-mel kepada [email protected].

-- BERNAMA