KUALA LUMPUR:China bersetuju untuk menambah pembelian minyak sawit negara sebanyak 1.7 juta tan hingga tahun 2023.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain itu, pihaknya turut membincangkan peluang untuk mengadakan kerjasama tiga hala menggunakan produk berasaskan minyak sawit Malaysia untuk menangani keselamatan makanan bagi negara ketiga.

Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju mempromosikan syarat kelestarian produk minyak sawit yang mematuhi label Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan label makanan hijau.

“Kami menghargai kesepakatan China untuk mendorong perusahaannya meningkatkan import minyak sawit dan produk lain yang dihasilkan secara lestari sesuai dengan peraturan pasaran.

“Oleh itu, kami sangat menghargai komitmen China untuk menambahkan pembelian produk sawit dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, isu keselamatan makanan turut dibincangkan khususnya ketika negara diancam wabak COVID-19.

“Malaysia mendahului inisiatif ini dengan rakan kongsi lain dalam bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai pendapat sama dengan menyatukan sumber daya untuk membina kemampuan rantaian bekalan global serta melindungi  keselamatan makanan secara strategik.

“Saya berbesar hati apabila China mengumumkan mereka menyokong visi dan agenda ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menambah, kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen untuk meneruskan perbincangan dalam memudahkan pergerakan rentas sempadan bagi tujuan rasmi atau perniagaan menerusi Reciprocal Green Lane (RGL).

“Walaupun pandemik COVID-19 masih belum berakhir, penting bagi kita untuk merancang dan berbincang lebih awal.

“Oleh itu, kami akan bersama-sama melancarkan RGL hanya apabila keadaan mengizinkan bagi membolehkan kedua-dua negara melakukannya,” jelasnya.

Terdahulu Hishammuddin menerima kunjungan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.