KOTA KINABALU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei hari ini telah dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan reputasi beliau sebagai ikon yang dikenali ramai di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pelantikan itu yang berkuat kuasa bulan ini sehingga Disember 2022 diyakini dapat membantu memulihkan industri pelancongan tempatan daripada kesan pandemik COVID-19 dan mengembangkan lagi potensinya.

"Melalui kerjasama ini, kita ambil kesempatan untuk mempromosikan Sabah sebagai salah satu destinasi yang menarik.

"Ini kerana Datuk Lee Chong Wei ini mempunyai pengikut dari seluruh dunia, semua orang kenal," katanya ketika ditemui media dalam majlis pelantikan Chong Wei sebagai Duta Pelancongan Sabah di sini, pada Rabu.

Jafry berkata, Chong Wei serta keluarganya akan dibawa untuk menikmati sendiri keunikan dan keindahan yang ditawarkan Negeri di Bawah Bayu ini supaya dapat berkongsi pengalaman dengan para pengikutnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga mencadangkan pembinaan Akademi Badminton Datuk Lee Chong Wei di negeri ini untuk membantu industri sukan dan pelancongan tempatan.

"Semalam, saya bersama dengan rombongan kementerian telah membawa beliau berjumpa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan ada juga perbincangan untuk mengadakan pertubuhan Akademi Datuk Lee Chong Wei di Sabah.

"Saya rasa ini bermanfaat untuk rakyat kita dalam bidang sukan badminton. Jadi kalau ini menjadi realiti, rasanya ia sekali gus akan membantu industri pelancongan di negeri ini," katanya lagi.

Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau menghargai pelantikan itu dan berharap dapat membantu Sabah untuk menarik perhatian pelancong-pelancong luar untuk datang ke negeri ini.

"Saya tahu Sabah sangat popular kerana saya selalu mengikut pertandingan di China dan Taiwan dan ramai orang berkata mengenai Sabah.

"Negeri ini sangat cantik dan mudah-mudahan saya akan dapat membawa keluarga bercuti di sini seterusnya membantu mempromosikan pelancongan yang ada di Sabah," kata Chong Wei.

Terdahulu, beliau telah dikurniakan Pingat Jaksa Pendamai (JP) sempena ulang tahun ke-68 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Selasa.