MALAYSIA
Cikgu, 'Abang CCTV & Wiring' didenda RM5,000 mengaku salah cuba lakukan zina

Kedua-dua tertuduh ketika berada di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Seorang guru wanita dan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang Wiring & CCTV’ didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan zina pada 28 Februari lalu.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin, menjatuhkan hukuman tersebut selepas kedua-dua tertuduh, Nur Fadilah Zainal dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, masing-masing berusia 31 tahun, membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati telah melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan individu yang bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, dalam daerah Alor Gajah kira-kira jam 9 malam, 28 Februari lalu.Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atraz Mohamad Zin, dibantu Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah.
Terdahulu dalam prosiding, lelaki tersebut menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab ke atas wanita terbabit yang merupakan ibu tunggal.
Muhammad Hairul Ezuan, yang juga bapa kepada tiga anak, menyatakan bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.
Sementara itu, Nur Fadilah Zainal memohon agar dikenakan denda yang rendah memandangkan dia menanggung sepenuhnya perbelanjaan anak tunggalnya yang berusia empat tahun, selain turut menyara ibu bapa di kampung.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan denda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan cinta terlarang antara guru wanita dan seorang lelaki yang masih berstatus suami orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami