Skip to main content

Malaysia

CIMB OCTOFest himpunkan komuniti, sokong PMKS sempena Ramadan dan Aidilfitri

CIMB OCTOFest 2026 TB
Dari kiri: Usahawan dan pempengaruh Malaysia yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Good Foodie Media, Pinn Yang; penyanyi Bella Astillah; dan Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman, menyampaikan duit raya kepada pengunjung bertuah pada acara CIMB OCTOFest di MyTOWN Shopping Centre. - Gambar CIMB

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad menganjurkan CIMB OCTOFest sebagai platform yang menggabungkan perdagangan, komuniti dan budaya sempena Ramadan dan Aidilfitri, sekali gus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menggalakkan penggunaan pembayaran digital.

Acara selama tiga hari dari 6 hingga 8 Mac di MyTOWN Shopping Centre itu menghimpunkan lebih 50 vendor tempatan bersama pelbagai aktiviti kebudayaan, persembahan hiburan serta pengalaman interaktif, dengan sasaran kehadiran 60,000 pengunjung.

Advertisement

Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, penganjuran festival itu selari dengan tujuan CIMB untuk memperkasakan pelanggan dan masyarakat atau “Advancing Customers and Society”, dengan menyediakan ruang kepada komuniti, pelanggan dan usahawan mikro untuk berkumpul serta meraikan Ramadan bersama.

Menurutnya, Ramadan dan Aidilfitri merupakan tempoh penting yang menghubungkan keluarga serta komuniti, di samping memberi peluang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.

“Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk hubungan, belas ihsan dan kebersamaan. Dengan CIMB OCTOFest, matlamat kami adalah untuk menghimpunkan orang ramai, berkongsi rezeki dan meraikan semangat musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata tema tahun ini, “Semua Lebih Hebat dengan CIMB”, mencerminkan bagaimana setiap detik menjadi lebih bermakna apabila diraikan secara bersama.

Jelas Toni, CIMB OCTOFest bukan sekadar festival perayaan, malah merupakan usaha untuk menghidupkan semula tradisi sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang semakin dilupakan dalam gaya hidup moden.

“Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar sebuah bank. Kami mahu menyediakan platform kepada masyarakat, komuniti dan usahawan mikro untuk berkumpul serta menikmati pengalaman festival Ramadan bersama,” jelasnya.

Tambahnya, festival tersebut turut memberi ruang kepada usahawan mikro dan PKS memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai, selain membantu meningkatkan kesedaran terhadap jenama tempatan.

Setakat ini, lebih 200 usahawan mikro telah menerima manfaat daripada festival berkenaan yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu.

Toni berkata Inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan penggunaan pembayaran digital melalui aplikasi CIMB OCTO bagi pelanggan dan CIMB OCTO Biz untuk peniaga kecil.

“Kami mahu memastikan pelanggan dan vendor merasai pengalaman pembayaran yang lebih mudah, pantas dan selamat melalui penggunaan kod QR serta platform digital CIMB,” ujarnya.

Image
CIMB OCTOFest INSERT
Penganjur turut mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung sempena penganjuran CIMB OCTOFest di MyTOWN Shopping Centre. - Gambar CIMB



Selain menikmati pelbagai juadah perayaan dan produk tempatan, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti bengkel batik tie-dye, permainan tradisional, cabaran congkak gergasi, karaoke raya serta agihan bubur lambuk.  

Acara tersebut turut menampilkan persembahan artis seperti Bella Astillah, selain kemunculan bintang Rising Start CIMB, Scha Nuril dan Firdaus, serta kehadiran atlet dan pempengaruh media sosial yang turut memeriahkan festival.  

Festival ini juga memperkenalkan “Rumah ASEAN”, yang menampilkan pelbagai jenama serta makanan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi meraikan kepelbagaian budaya di rantau ini.  

Selain itu, pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kod QR melalui aplikasi CIMB OCTO berpeluang menerima cenderamata khas, manakala peniaga kecil pula mendapat manfaat daripada transaksi yang lebih cekap serta aliran tunai yang lebih baik sepanjang musim perayaan.  

Penganjuran CIMB OCTOFest juga mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai selepas festival serupa dianjurkan sebelum ini di Pasar Seni, Bukit Bintang serta bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan CIMB untuk menyokong komuniti dan perniagaan tempatan sambil menghidupkan semula tradisi perayaan dalam kalangan masyarakat.

“Melalui semangat Kita Bagi Jadi, kami mahu memastikan tradisi terus kekal relevan dan memberi manfaat kepada komuniti serta perniagaan tempatan,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai aktiviti, promosi dan tawaran sepanjang festival boleh melayari CIMB OCTOFest 2026.
 

Must Watch Video