CIRI Call Assist diperkenalkan pada siri Samsung Galaxy S24 awal tahun ini dengan ia boleh melakukan alih bahasa panggilan telefon secara masa nyata.

Di acara Unpacked malam ini, Samsung kini mengatakan Live Call Translate akan menyokong 20 bahasa menjelang penghujung 2024. Ketika dilancarkan, ciri ini sekadar menyokong 13 bahasa sahaja.

Yang menjadikannya menarik ialah ia menggunakan model AI terbina pada peranti dan berfungsi tanpa memerlukan sambungan kepada internet.

Apakah tujuh bahasa baharu yang bakal diperkenalkan kelak masih belum diumumkan secara rasmi.

Sebelum ini Samsung berkata sokongan Bahasa Malaysia akan diberikan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Samsung mengatakan Live Translate turut akan menyokong pelbagai aplikasi popular global dalam masa terdekat.

Sebelum ini pada siri Galaxy S24, ia hanya disokong pada aplikasi Samsung, WhatsApp dan Messenger sahaja. -Amanz