Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Citrawarna Speed Festival 2026 raikan seni budaya, kemeriahan sukan permotoran

KUALA LUMPUR — Tourism Malaysia bakal menganjurkan Citrawarna Speed Festival 2026 dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, menggabungkan kebudayaan Malaysia dengan keterujaan daripada sukan permotoran dunia. Festival ini bakal menampilkan pameran kebudayaan, tarikan berinspirasikan sukan permotoran dan pengalaman interaktif kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027)._tourism.gov
Festival berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu IOI City Mall Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dan Hotel Sama-Sama KLIA. - https://www.tourism.gov.my/
Advertisement

KUALA LUMPUR: Citrawarna Speed Festival 2026, yang menggabungkan kekayaan seni budaya Malaysia dengan kemeriahan sukan permotoran bermula secara rasmi pada hari Rabu (23 Sept) hingga 4 Okt.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, festival berkenaan berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu IOI City Mall Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dan Hotel Sama-Sama KLIA.

"Menerusi penganjuran acara berskala mega di pusat beli-belah, pintu masuk antarabangsa negara dan hotel, Citrawarna Speed Festival 2026 membuka dimensi baharu dalam usaha mempromosikan Malaysia bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.

"Pendekatan dinamik ini bukan sahaja menawarkan pengalaman kebudayaan yang lebih segar kepada pelawat, malah berupaya memacu pertumbuhan rantaian ekonomi tempatan – khususnya dengan merancakkan lagi sektor pelancongan, peruncitan, perhotelan, dan industri kreatif secara serentak," menurut kenyataan itu, pada Rabu.

Di IOI City Mall Putrajaya, festival disusun atur merentasi empat zon utama, iaitu Zon A (Colours of Speed) yang menampilkan Pertandingan Simulator interaktif, manakala Zon B ialah pusat sehenti maklumat pelancongan dan budaya di reruai Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang.

Zon C (Colours of Art & Culture) menawarkan 14 stesen interaktif yang memaparkan seni, kraf tradisional dan persembahan kebudayaan secara langsung dan Zon D (Colours of Parade) melengkapkan suasana dengan persembahan budaya dan elemen realiti maya (VR) serta sesi ramah mesra bersama-sama maskot Wira dan Manja.

Pengunjung dan tetamu di KLIA Terminal 1 dan Hotel Sama-Sama KLIA pula disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional seperti gasing dan congkak serta sesi simulator perlumbaan.

Lebih unik, tetamu Hotel Sama-Sama KLIA turut menerima kad kunci bilik edisi khas Citrawarna Speed Festival.

Menurut kenyataan itu, tarikan kemuncak festival ialah "Colours of Parade" yang akan berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada 8.30 malam, 3 Okt ini yang menghimpunkan 1,500 penari dan penghibur kebudayaan.

"Melalui muzik tradisional, tarian, kostum yang meriah dan penonjolan budaya, perarakan ini akan mempamerkan kepelbagaian dan perpaduan komuniti Malaysia dalam sambutan warisan negara yang menakjubkan," menurut kenyataan itu.

Festival berkenaan akan berakhir dengan Aktivasi Lamborghini pada 4 Okt, yang bakal menghimpunkan kira-kira 100 kereta berkuasa tinggi itu.

Jadual program penuh, butiran Pertandingan Simulator dan kemas kini festival boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi Citrawarna Speed Festival 2025 menerusi Facebook facebook.com/CitrawarnaMalaysia/ atau Instagram instagram.com/citrawarna.my/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement