Lagi dari pameran kereta Paris yang akan datang – kali ini dari Honda, yang nampaknya akan memperkenalkan derivatif baru untuk model Civic yang dinamakan Civic Sport. Rupanya juga bagai yang dibayangkan nama model yang mendatang ini, lampu hadapan baru dengan DRL dan bumper hadapan baru memang lebih sporty daripada apa yang ada pada Civic sedia ada.

Civic Sport yang datang dengan bentuk hatchback ini turut dilengkapkan dengan bumper belakang, skirt sisi, spoiler belakang dan lampu belakang LED.

Enjin datang dalam dua pilihan: 1.8 i-VTEC dengan 140hp ataupun1.6 liter i-DTEC (diesel) dengan 118hp. Yang lebih menarik perhatian adalah pengesahan daripada Honda bahawa Civic Sport ini mempunyai persamaan rekaan dengan Type R yang sedang dibangunkan; ini khusus untuk bumper hadapan bersama jaring gril bawah dan kemasan bumbung berwarna hitam.

Gambar kabin yang ada di sini jelas untuk Civic Sport dengan enjin diesel yang mudah dikesan melihat kepada meter yang menunjukkan redline pada 4,500rpm. Gear manual yang ada menunjukkan 6-gear hadapan.

Setiap varian di dalam model Civic 2015 akan turut datang dengan sistem City-Brake Active (CTBA) sebagai pemasangan standard. Ia bertanggunjawab untuk mengurangkan (atau mengelakkan terus) berlakunya kemalangan pada kelajuan di bawah 30km/sj..

Sistem ini menggunakan radar untuk mengesan jalan dihadapan, dan terus mengaktifkan brek jika ia berpendapat kemalangan bakal berlaku.

Perkakasan untuk kemudahan penumpang pula termasuk sistem maklumat Honda Connect yang memberikan kemudahan ketersambungan sewaktu perjalanan. Fungsi-fungsi internet radio, Bluetooth, internet dan navigasi satelit Honda Connect berfungsi diatas Android 4.0.4.