Skip to main content

Malaysia

Hajiji mahu agensi perkukuh penyelarasan data, elak pertindihan bantuan kemiskinan

Hajiji berkata antara cabaran yang masih dihadapi kerajaan negeri ialah pelaksanaan program pembasmian kemiskinan oleh kementerian dan agensi mengikut perancangan masing-masing tanpa penyelarasan mencukupi. - Gambar fail/Astro AWANI
Hajiji berkata antara cabaran yang masih dihadapi kerajaan negeri ialah pelaksanaan program pembasmian kemiskinan oleh kementerian dan agensi mengikut perancangan masing-masing tanpa penyelarasan mencukupi. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KOTA KINABALU: Semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah digesa memperkukuh penyelarasan data serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri itu bagi mengelakkan pertindihan bantuan dan memastikan golongan sasar menerima manfaat secara lebih berkesan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata antara cabaran yang masih dihadapi kerajaan negeri ialah pelaksanaan program pembasmian kemiskinan oleh kementerian dan agensi mengikut perancangan masing-masing tanpa penyelarasan mencukupi.

Beliau berkata keadaan itu  berpotensi menyebabkan ketidakselarasan maklumat bantuan serta membebankan rakyat dengan urusan birokrasi berulang.

Advertisement

"Tanggungjawab penyelarasan ini telah saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), namun kerjasama menyeluruh daripada semua agensi masih perlu dipertingkatkan, khususnya membabitkan perkongsian data penerima, maklumat bantuan yang telah disalurkan dan pelaporan keberhasilan intervensi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Advertisement

Hajiji berkata kerajaan negeri akan memperkukuh penggunaan sistem eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai rujukan rasmi bagi mengesan pertindihan bantuan, mengenal pasti isi rumah yang masih belum menerima bantuan serta memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh

Beliau berkata Program MySMJ Profiling yang menempatkan pegawai di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjalankan pengesahan data kemiskinan di lapangan, termasuk menilai latar belakang keluarga, kemampuan bekerja, keperluan latihan serta perubahan status sosioekonomi isi rumah.

Beliau berkata kejayaan menoktahkan status miskin tegar bagi 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti menerusi angka locked figure (LF) Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 pada 31 Julai 2024 membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam perkongsian data, pengesahan lapangan dan pelaksanaan intervensi.

“Namun, pencapaian sifar miskin tegar tidak bermakna semua keluarga terbabit secara automatik berjaya keluar daripada kemiskinan kerana kedudukan sosioekonomi mereka boleh berubah akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan, bencana atau perubahan Pendapatan Garis Kemiskinan  (PGK),” katanya.

Hajiji berkata berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, katanya Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan tertinggi berbanding negeri lain dan melebihi paras nasional, sekali gus memerlukan pendekatan penilaian yang mengambil kira realiti serta keperluan sebenar rakyat negeri itu.

Juteru, beliau mahu 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023 dimanfaatkan sebagai instrumen penilaian dan pemprofilan bagi mengenal pasti punca kemiskinan setiap keluarga, menentukan intervensi bersesuaian serta memantau perubahan keadaan mereka dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement