Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif berkait COVID-19 apabila hampir dua kali ganda kes pulih dan dibenarkan discaj dicatatkan setakat 12 tengah hari Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 169 kes telah pulih, sekali gus menjadikan sebanyak 2,647 kes atau 52.2 peratus dibenarkan discaj.

"Sehingga 15 April 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 85 kes baharu yang telah dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes. Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,342 kes.

"Bilangan yang discaj hari ini hampir dua kali ganda COVID-19 yang dilaporkan. Sehingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaaklumkan, satu lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan ke Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Katanya, ia menyaksikan peningkatan kepada 83 kes kematian atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-83 (kes ke-4988) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 6.41 pagi," katanya.