KUALA LUMPUR: Jumlah kes jangkitan harian COVID-19 di dalam negara mula menunjukkan penurunan apabila sebanyak 27,435 kes dilaporkan setakat semalam (6 Mac). 

Senario ini menunjukkan penurunan selepas sebanyak 33,406 kes yang dilaporkan kelmarin, 33,209 kes pada 4 Mac, 32,467 kes (3 Mac) dan 27,500 (2 Mac).

Sementara itu, data COVIDNOW pada Isnin merekodkan, sejumlah 184 kes daripada 27,435 kes baharu yang dicatatkan pada Ahad terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, baki 27,251 kes pula terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,622,607 kes.

"Daripada 184 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, sebanyak 55 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 85 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19. namu  mereka belum menerima dos penggalak dan 44 kes telah menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan yang dikongsi dalam perkongsian terbaharu di Twitternya pada Isnin.

Dari jumlah keseluruhan kes positif yang terbaharu ini, sebanyak 254 kes positif dilaporkan semalam merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
 
Pecahan kes yang dilaporkan di seluruh negara, Selangor terus merekodkan kes tertinggi dengan 7,453 kes.

Diikuti, Kuala Lumpur (2,584), Kedah (2,901), Johor (2,212), Pulau Pinang (2,270), Sabah (2,101), Pahang (1,522), Negeri Sembilan (1,581) dan Kelantan (1,517).

Seterusnya Perak (1,438), Sarawak (1,184), Terengganu (869), Melaka (719), Labuan (254), Perlis (240) dan Putrajaya (151).

Dalam pada itu, sebanyak 55 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 33,228 kes manakala sebanyak 16 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID sebanyak 6,869 kes.

Sebanyak 308,251 kes aktif dilaporkan melibatkan 295,704 kes dikuarantin di rumah, 3,510 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sementara itu, 8,658 kes di hospital, 163 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 216 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.