KUALA LUMPUR: Negara mencatatkan 3,997 kes COVID-19 pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan pertambahan angka baharu itu, jumlah kumulatif jangkitan dalam negara kini mencapai 2,754,513.

Jumlah kes mengikut negeri akan dikongsi di portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) COVIDNOW.

Menurut perkongsian data COVIDNOW, setakat semalam kadar kematian merekodkan pertambahan sebanyak 36 kematian.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 31,428 kes.


Unit rawatan rapi (ICU) setakat ini menempatkan seramai 281 pesakit dan daripada jumlah itu, 155 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala kes sembuh hari ini adalah sebanyak 3,984 kes sekaligus angka kumulatif sembuh ialah 2,681,390.

Sebahagian besar daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan melibatkan pesakit kategori 1 dan 2, namun jumlahnya tidak dimaklumkan.

Sementara itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir ialah 442 kes dengan kes positif di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah 15 kes.

Tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS.