KUALA LUMPUR: Kes harian positif COVID-19  terus mencatatkan peningkatan dengan 4,362 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam berbanding 4,262 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sejak pandemik itu melanda kepada sebanyak 2,711,764 kes.

"Daripada 4,362 kes baharu yang direkodkan, 98 peratus atau 4,273 kes melibatkan kategori 1, 2 dan 3 sementara baki dua peratus membabitkan  kategori 4 dan 5," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memberitahu, 400 pesakit termasuk 315 yang disahkan positif COVID-19 dan 85 yang masih disyaki kemungkinan COVID-19 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada angka itu katanya, 198 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 12 kluster dikesan, menjadikan 257 kluster masih lagi aktif setakat hari ini.

Sementara itu data di laman web COVIDNOW, sebanyak 37 kematian dilaporkan dengan sejumlah 31,026 kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia, setakat tengah malam tadi.

Daripada jumlah kematian baharu, empat kematian melibatkan kematian di luar hospital atau brought-in-death (BID).