Seramai 4,666 orang disaring Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan individu dalam Kluster Benteng, Lahad Datu (LD) setakat Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,258 individu melibatkan mereka yang berada di LD manakala, 3,408 pula individu yang disaring di Tawau.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, 403 kes dikesan positif COVID-19.

"Di Lahad Datu, 88 kes dikesan positif, 907 negatif manakala 263 masih menunggu keputusan.

"Ujian saringan di Tawau pula mendapati, 315 kes disahkan positif COVID-19 iaitu 22 daripadanya merupakan kes baharu, 803 individu negatif manakala 2,290 masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

BACA: COVID-19: Jumlah positif menurun kepada 47 kes

BACA: COVID-19: Kes jangkitan turun kepada 47, ini lima perkara penting kenyataan media KP Kesihatan

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah 403 kes positif, 176 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala 227 adalah bukan warganegara membabitkan Filipina (152 kes) dan Indonesia (75 kes).

"Seramai 1,699 petugas barisan hadapan disaring dan daripada jumlah itu, hanya dua kes dikesan positif COVID-19," jelas beliau.