Kes positif COVID-19 baharu di Malaysia kekal dua angka dua hari berturut-turut dengan 45 kes dilaporkan pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 44 kes melibatkan penularan dalam negara dengan 11 adalah rakyat Malaysia manakala 33 bukan warganegara.

Katanya, 40 kes penularan tempatan dikesan daripada Kluster Benteng LD di Sabah dengan 33 kes melibatkan bukan warganegara.

"Sebanyak 34 daripada 40 kes baharu daripada Kluster Benteng LD merupakan banduan manakala enam kes adalah ahli keluarga kakitangan penjara," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

"Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan saringan ke atas 2,679 individu daripada kluster itu termasuk 1,909 kes di Tawau dan 770 kes di Lahad Datu," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, empat lagi kes penularan tempatan melibatkan dua kes daripada Kluster Telaga dan masing-masing satu kes Kluster Sungai dan saringan Klinik Kesihatan Simpang Kuala di Kedah.

Katanya, KKM telah menjalankan saringan ke atas 1,585 individu daripada kluster terbabit dengan 1,456 kes di Kedah, Pulau Pinang (122) dan Perlis (tujuh).

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 9,628 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 333 kes.

Satu kes import yang direkodkan di Selangor katanya, melibatkan seorang warga tempatan yang pulang dari Brazil.

Kes import yang membabitkan bukan warganegara memasuki Malaysia katanya, adalah sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuat kuasa pada 7 September lalu.

"Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambah beliau, 24 pesakit dilaporkan pulih hari ini dan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,167 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, katanya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 kes