KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu kekal pada paras 5,000 dengan 5,139 kes direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes baharu dalam negara adalah sebanyak 2,861,069.

"Kes sembuh pula adalah sebanyak 3,767 kes menjadikan jumlah keseluruhan sembuh adalah sebanyak 2,777,715 kes.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 119 kes dan yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 69 kes," katanya dalam kenyataan harian COVID-19.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan lima kluster baharu dikenal pasti pada Sabtu manakala jumlah kluster yang telah diisytihar tamat sebanyak 6,108 kluster.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 12 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,952 orang, daripada lebih 2.84 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, satu kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.