Malaysia mencatat lima kes terbaharu positif jangkitan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) seperti yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lima kes terbaharu yang direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis menjadikan jumlah kumulatif positif wabak berkenaan ialah 55 kes.

Daripada 55 kes berkenaan, beliau berkata, seramai 22 orang daripada mereka yang dikenal pasti positif itu sudah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad.

"Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu (1) kluster COVID-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26.

"Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dalam kluster tersebut. Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes.

"Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan," kata Dr Noor Hisham dalam sidang media pada Khamis.


Mengulas mengenai penyebaran berita palsu yang mencetuskan panik di kalangan masyarakat, beliau menyarankan agar orang ramai membuat aduan terus kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) selain membuat semakan terus di laman rasmi Kementerian Kesihatan.

"Kita tak mampu nak kawal penularan berita palsu kerana terlalu banyak jadi saya saran orang ramai terus buat aduan kepada SKMM.

"Sebarang info sahih boleh rujuk terus di laman rasmi KKM", katanya lagi.

Setakat ini, pihak Kementerian Kesihatan juga telah membuat satu langkah proaktif berhubung wabak COVID-19 yang telah memasuki gelombang kedua dengan mengenakan sekatan pelawat serta merta tanpa mengira warganegara dari negara Itali, Jepun, dan Iran.