KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memutuskan supaya pengurusan kompleks beli-belah One Utama meneruskan saringan ke atas semua pekerja selepas 60 kakitangannya dikesan positif COVID-19.

Pegawai Daerah Johary Anuar memaklumkan terdapat 63 kes positif melibatkan kompleks beli-belah tersebut dengan 59 kes daripadanya di daerah Petaling dan baki empat kes di luar daerah.

“Pekerja yang positif akan dirawat di hospital dan kontak kepada pekerja positif perlu dikuarantin selama 14 hari serta menjalani saringan susulan sebelum diberi pelepasan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, seramai 16 pekerja pusat membeli belah dan 44 pekerja keselamatan didapati positif hasil saringan terhadap 6,000 kakitangan.

Antara lain, katanya pengurusan kompleks juga perlu memastikan syarikat keselamatan melantik pekerja baharu bukan terdiri daripada kontak rapat kes positif dan perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum mula bekerja.

BACA: COVID-19: One Utama, kelab golf Tropicana ditutup

Tambahnya, seramai 110 pengunjung disaring pada Rabu selepas Kompleks Beli-Belah One Utama ditutup 14 hari bermula 11 Oktober lalu berikutan terdapat empat kes positif.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Johary Anuar berkata, pekerja yang positif akan dirawat di hospital dan kontak kepada pekerja positif perlu dikuarantin selama 14 hari serta menjalani saringan susulan sebelum diberi pelepasan