PETALING JAYA:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memaklumkan pusat membeli belah One Utama, Bandar Utama dan kelab golf, Tropicana Golf Club & Country Resort di sini ditutup kerana penularan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan itu.

Pengerusinya, Johary Anuar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, penutupan akan bermula pada Ahad, 11 Oktober 2020 bagi tujuan saringan kontak rapat dan proses nyah kuman.

Menurutnya, orang ramai yang mengunjungi Bahagian Kosmetik dan Wangian di Aras G dalam Parkson Elite antara 30 September hingga 7 Oktober lepas dinasihatkan untuk hadir menjalani saringan.

Tambahnya, mereka yang mengunjungi Mac City di aras dua One Utama antara 25 September 2020 sehingga 30 September 2020 juga diminta menjalani saringan COVID-19.

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan di pusat beli-belah berkenaan pada 14 dan 15 Oktober ini bermula jam 9.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan di pusat beli-belah berkenaan pada 14 dan 15 Oktober ini bermula jam 9.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Jelasnya, keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh seperti dinyatakan.

Sehingga kini terdapat empat kes positif di One Utama melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung manakala lima kes positif dikesan di kelab golf tersebut melibatkan lima orang pekerjanya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)