KUALA LUMPUR:Sejumlah 660 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dua hari berturut-turut dengan hampir 65 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 17,540 dengan 5,768 kes aktif.

"Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini, Sabah masih terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 429 kes (65 peratus).

"Didapati semakin banyak aktiviti saringan di lapangan yang sedang giat dijalankan di sana dan lebih banyak keputusan ujian sampel telah mendapat keputusan," katanya dalam sidang akhbar menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan, terdapat empat kes kematian akibat pandemik berkenaan di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan korban COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 167.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)