KUALA LUMPUR:Sebanyak 919 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini,  menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 43,791 kes, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,419 kes.

Daripada 919 kes baharu, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, melibatkan dua warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang tiba dari Indonesia (1 kes), Nigeria (1 kes), dan Arab Saudi (1 kes).

Pada masa sama, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 996 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 32,069 kes (73.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 303 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kematian baharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun bukan warganegara Malaysia yang meninggal dunia di Hospital Tawau. 

Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 319 kes (34.7 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini.

Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 224 kes (24.4 peratus) daripada jumlah
keseluruhan.

Negeri Sembilan pula mencatat 240 kes (26.1 peratus) di mana 236 kes daripadanya adalah daripada kluster-kluster sedia ada.

"Sebanyak 13 kes (1.4 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (12 kes) dan Kluster PTS Tawau (1 kes)," katanya dalam sidang media mengenai COVID-19 di sini pada Khamis. 

 Sehingga kini, terdapat 92 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)