KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 92 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 33,899 orang, daripada 3.82 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 33 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat 308,942 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 298,123 individu atau 96.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 2,031 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 8,400 kes dirawat di hospital dan 388 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 173 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 215 lagi memerlukan mesin ventilator.