KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.9 peratus daripada 18,688 kes COVID-19 baharu yang dicatatkan hari ini adalah pesakit kategori 1 dan 2 yang tidak menunjukkan gejala serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 8,928 kes atau 47.8 peratus berada dalam bagi kategori 1 iaitu mereka yang tidak bergejala, manakala 9,359 orang atau 50.1 peratus berada dalam kategori 2 (bergejala ringan).

Sementara pesakit kategori 3, yang mengalami jangkitan paru-paru adalah seramai 135 orang, atau 0.7 peratus.


Selain itu, seramai 81 orang atau 0.4 peratus pula berada dalam kategori 4 iaitu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen, 

Dr Noor Hisham berkata, bagi kategori 5 iaitu bergejala kritikal dengan jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan, bilangan pesakit adalah seramai 185 orang bersamaan 1.0 peratus daripada keseluruhan kes.