KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan laporan kerajaan berusaha untuk mengambil langkah menyekat proses Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang bergelut dengan isu keabsahan dan gagal menunjukkan majoriti di Parlimen sedang menggunakan krisis COVID-19 sebagai alasan penyalahgunaan kuasa.

“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

“Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri,” dakwanya lagi.

Anwar berpendapat, ketika negara-negara Asia lain sedang menumpukan usaha menangani pandemik COVID-19 dan membenarkan aktiviti ekonomi bergerak, Malaysia pula bergerak ke belakang.

“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah berasakan strategi ampuh untuk melawan dampak (kesan) wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.

“Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak COVID-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian,” tegasnya lagi.