Sebanyak RM4.5 bilion akan diperuntukan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk usahawan mikro, sebagai usaha membantu mereka menghadapi impak ekonomi akibat penularan wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini, Perdana Menteri berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui lima inisiatif utama.

Langkah pertama, kata beliau, ialah penambahan dana tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

“Kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus,” kata beliau.


Langkah kedua, jelas Perdana Menteri, peningkatan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi, bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Langkah ketiga yang diumumkan Muhyiddin, ialah penyediaan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2 peratus sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.

“Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian,” kata Perdana Menteri lagi.

Sementara langkah keempat, kata Muhyiddin ialah skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000 bagi PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun juga boleh memanfaatkan.

Dan yang terakhir, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) pula akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” ujar Perdana Menteri lagi.