PUTRAJAYA:Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan turut menjalani kuarantin kendiri di kediamannya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya beliau turut dijangkiti COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada media, susulan Dr Noor Hisham antara yang hadir dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lepas.

Pegawai tersebut memaklumkan, sepanjang tempoh kuarantin 14 hari yang bermula 3 Oktober lalu, Dr Noor Hisham akan mengadakan sidang media berjadual secara langsung dari kediamannya, tanpa kehadiran wakil media.

Sementara itu, ketika dihubungi Astro AWANI, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa beliau telah mula menggunakan teknologi video untuk mesyuarat yang perlu dihadiri. 

"Bergantung kepada pendedahan kita kepada risiko dan keadaan," katanya ketika ditanya mengenai jumlah ujian saringan COVID-19 yang telah beliau jalani. 

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan sah positif COVID-19 dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Susulan keputusan itu, kesemua individu yang hadir dalam mesyuarat berkenaan, termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengikut peraturan KKM menjalani kuarantin wajib.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak bulan April 2020 dan kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan NEGATIF.

“Selain itu, saya telah melakukan tiga (3) ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam.



BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)

BACA: Perdana Menteri jalani kuarantin kendiri susulan Dr Zulkifli positif COVID-19

BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19