KUALA LUMPUR : Ruang parkir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang direka khas semasa awal pembinaan bagi dijadikan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) untuk menghadapi kes bencana kimia dan biologi, hari ini diaktifkan bagi pesakit COVID-19.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya telah membuat tinjauan di DMZ itu yang terletak di parkir bawah tanah yang sudah bersedia menerima pesakit COVID-19 tahap empat dan lima dari Lembah Klang.

“Parkir tersebut sememangnya ruang yang telah digazetkan sebagai DMZ yang direka khas semasa awal pembinaan hospital berkenaan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi.

COVID-19 | Hospital Tuanku Mizan sedia terima pesakit


“Ia juga disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan dari aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan yang mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti yang bersesuaian,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, katanya zon berkenaan yang mula beroperasi pada Jumaat berkeupayaan menyediakan sebanyak 50 katil tambahan bagi pesakit COVID-19.

Ujarnya, persiapan di hospital berkenaan turut dibantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau membuat lawatan di hospital berkenaan pada Jumaat diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.