KUALA LUMPUR: Golongan ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka divaksinasi tidak perlu mengganggu mereka yang mahu berbuat demikian.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ada pihak yang sanggup menyebarkan fitnah dengan menyatakan anaknya hanya dicucuk dengan angin untuk mempengaruhi orang lain.

Dalam ciapan di Twitter hari ini, Khairy berkata ketika ini lebih ramai ibu bapa yang yakin dengan vaksin untuk melindungi anak mereka.

"Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

"Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka," katanya.


Data dikongsikan Khairy turut menunjukkan liputan dan pendaftaran vaksin untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun meningkat sebanyak 24,967 pada Rabu yang membawa kepada 892,974 pendaftaran bagi PICKIDS.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus daripada empat juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin menjelang hujung Februari ini.

BACA: Anak Khairy, Raif terima vaksin COVID-19

Vaksin Kanak-Kanak | Jangan ganggu ibu bapa mahu vaksin anak – KJ

Khairy sebelum ini turut memuat naik gambar dan video anaknya, Raif, 6, menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC) di ibu negara.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, KKM mengeluarkan video pengakuan jururawat bertanggungjawab memberikan suntikan kepada anak Khairy.

Jururawat wanita yang tidak dinamakan itu menafikan memberi 'suntikan angin' sepertimana dakwaan segelintir netizen yang tular di media sosial.

BACA: 'Tolong, jika tak tahu jangan buat andaian' - Jururawat nafi suntik 'angin' kepada anak KJ