Kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan penurunan sejak 24 jam lalu dengan angka yang dilaporkan hari ini ialah 47 berbanding 58 pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 kes merupakan penularan tempatan manakala dua kes adalah jangkitan luar negara.

Menurut beliau, jumlah itu menjadikan kes keseluruhan direkodkan sebanyak 9,915 kes.

"Daripada 45 kes penularan tempatan, 28 kes melibatkan warganegara manakala 17 kes membabitkan warga asing dan dua kes import juga dalam kalangan warga asing.

"Jumlah kes yang discaj pula sebanyak 7 kes pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif telah pulih sebanyak 9,196 kes (92.75 peratus)," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 591 kes masih dalam kategori aktif dan telah diasingkan dan sedang dalam rawatan.

Daripada jumlah itu, sembilan kes ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat empat daripada memerlukan alat bantuan pernafasan," jelasnya.

Beliau menambah, tiada pertambahan kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 128 kes (1.29 peratus).