KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi kefahaman kepada rakyat mengenai 'exit strategy' atau Pelan Pemulihan Negara sebelum melaksanakan cadangan berkenaan.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, langkah itu penting bagi mendapatkan 'buy in' daripada semua pihak.

Jelasnya, penerangan daripada kerajaan memastikan rakyat tidak khuatir atau was-was untuk menjayakan sesuatu perancangan negara.

"Macam contoh penerangan mengenai kenapa rakyat perlu divaksin. Jadi ini perlu komunikasi, orang yang pakar dalam komunikasi ini sangat penting untuk membawa intipati perbincangan ini sebab kerajaan, barisan hadapan telah melakukan yang terbaik, tetapi kalau rakyat sebahagian besarnya masih lagi was-was, khuatir dan tidak tahu mengapa ia perlu dilakukan, ini timbulnya masalah kita," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Selasa. 

BACA: Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan keluar pandemik COVID-19 - PM

Jelasnya, dua perkara perlu ditekankan dalam 'exit strategy' iaitu daya tahan rakyat dan kecekapan yang melibatkan maklumat yang tepat. 

Dalam masa sama, Dr Madeline berharap kerajaan dapat menambah baik sistem jaringan keselamatan sosial negara demi kebaikan rakyat.

Dalam pada itu katanya, golongan B40 dan M40 paling terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Ramai golongan PKS yang berada dalam M40. Belum sangat pulih, negara ada pula 'lockdown' sekali lagi. Kalau golongan B40 lagilah terkesan" ujarnya.

Justeru, usaha mempercepatkan program vaksinasi perlu dilakukan khususnya di luar bandar.

"Masih lagi ramai di pedalaman yang belum mendaftar dan apatah lagi divaksin. Jadi unit vaksin bergerak itu penting. Maka syarikat-syarikat juga perlu membantu untuk memastikan sasaran imuniti kelompok ini dicapai," tambahnya.