KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 3,490 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit menurun berbanding semalam (Sabtu) yang melaporkan sebanyak 4,624 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,691,639.



Menurutnya, daripada 3,490 kes baharu yang dilaporkan, 98 peratus atau 3,421 kes adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sementara dua peratus atau 69 kes merekodkan kes dalam kategori 3, 4, dan 5," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 31 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 30,862 individu.

Jumlah itu juga termasuk tujuh kes brought-in-dead (BID) atau kes kematian di luar hospital.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan setakat ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan seramai  407 pesakit dengan 216 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, angka kes pulih hari ini dilaporkan sebanyak 5,399 kes dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 2,601,908 kes atau 96.7 peratus.

Menurutnya lagi, dua lagi kluster baharu dikesan, menjadikan  243 kluster aktif setakat hari ini.