KUALA LUMPUR:Orang ramai dinasihatkan agar tidak takut untuk menjalani ujian saringan COVID-19 jika mempunyai gejala yang berkait rapat dengan wabak tersebut.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan UMS, Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin berkata ia bagi mengelak isu kes positif yang hanya dikesan selepas pesakit meninggal dunia.

“Kalau dilihat dalam gambaran semasa pada media sosial, kebanyakannya seolah-olah memaparkan prosedur saringan dan rawatan COVID-19 begitu menyakitkan dan traumatik.

“Ia sudah pasti mempengaruhi persepsi awal pesakit atau mereka yang terkesan dengan COVID-19 (untuk membuat ujian saringan).

“Kalau maklumat tersebut tidak tepat, ia menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat untuk tampil apabila mereka mempunyai simptom. Masyarakat perlu diberi pemahanan bahawa proses saringan dan proses kuarantin tidak begitu traumatik,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu. 


Katanya lagi, tekanan sosial ekonomi juga menjadi antara sebab masih ada ramai dalam kalangan masyarakat yang takut untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan rawatan.

“Ini terutamanya bagi ahli keluarga yang merupakan ketua keluarga yang perlu mendapatkan pendapatan bagi menyara keluarga.

“Sekiranya individu itu membuat laporan, dia perlu menjalani kuarantin dan ia akan menjejaskan pendapatan keluarganya,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa 35 daripada 44 kes kematian di Sabah pada gelombang ketiga penularan COVID-19 ialah kematian yang berlaku di luar hospital (BID).