Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu di negara ini pada Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kluster tersebut membabitkan kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Pitakwa, Kluster PUI Shirala, Kluster Pusat Perubatan Kuching dan Kluster Jupiter.

Katanya bagi Kluster PUI Pitakwa, kes indeks kluster tersebut merupakan seorang warganegara Malaysia (kes ke-8737) yang pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

“Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif.

“Tiga hari selepas ketibaan di Malaysia, beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk di mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan media yang diedarkan pada Jumaat.

Katanya, susulan itu, 44 kontak telah dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja.

“Daripada jumlah tersebut, dua dikesan positif COVID-19 (kes ke-8,754 dan 8,755), tiga negatif dan 39 masih menunggu keputusan.

BACA: COVID-19: Dua kluster baharu dikesan di Sarawak

Bagi Kluster PUI Shirala pula, kes indeks kluster tersebut adalah seorang bukan warganegara golongan profesional (kes ke-8,730) dan tiba di Malaysia pada 6 Julai 2020 atas urusan kerja.

“Saringan COVID-19 di India dan kemudiannya di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif.

“Bagaimanapun, lima hari selepas ketibaan di Malaysia, beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala pada 11 Julai lalu dan dikesan positif COVID-19.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan setakat ini, dua kontak rapat dikenal pasti di mana satu kes dikesan positif COVID-19 (kes ke-8,738) dan seorang lagi adalah negatif,” katanya.

BACA: COVID-19: Malaysia catat 18 kes baharu, 8 kes penularan tempatan

BACA: Penularan tempatan kembali dengan 8 kes, ini lima perkara penting kenyataan KKM

Sementara itu, kes indeks Kluster Pusat Perubatan Kuching adalah seorang warganegara Malaysia (kes ke-8,734) yang menjalani saringan COVID-19 kerana beliau berisiko tinggi (petugas kesihatan barisan hadapan), namun tidak mempunyai gejala.

"Beliau dikesan positif COVID-19 pada 14 Julai lalu dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Setakat ini, satu kes dikesan positif COVID-19 daripada 26 kontak rapat dikenal pasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Yang lain adalah negatif. Kes positif tersebut ialah ke-8744 dan merupakan rakan setugas kes ke-8734 di sebuah Pusat Perubatan di Kuching," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks Kluster Jupiter pula merupakan seorang bukan warganegara (kes ke-8723) dan merupakan seorang kru sebuah kapal yang berlayar dan mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapur.

“Beliau mula mengalami gejala pada 3 Julai lalu dan gejala menjadi semakin teruk pada 11 Julai di perairan Sarawak sebelum dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan COVID-19 didapati positif.

"Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bintulu, Sarawak dan susulan itu, 29 kontak rapat dikenal pasti di dalam kapal itu di mana kesemuanya adalah kru kapal.

"Daripada jumlah ini, dua dikesan positif COVID-19 (kes ke-8,747 dan ke-8,748) manakala 27 lagi negatif," katanya.

Tambahnya, kluster ini adalah kluster import yang terpencil kerana masyarakat sekeliling sememangnya tidak terdedah kepada kru kapal ini tetapi kes yang memerlukan rawatan akan segera dibawa ke pusat perubatan dan hospital.